Sejarah Masjid At-Taqwa Pekan Pahang

Rate this item
(5 votes)
Pada tahun 1974, sebuah perkampungan baru telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir yang tinggal di beberapa buah kampung di Mukim Langgar. Pekan, Pahang Perkampungan ini dinamakan Rumah Banjir.

Pada tahun 1976, nama Rumah Banjir telah ditukar menjadi Kg. Dato’ Shahbandar sempena  nama salah seorang “Orang Besar Berempat Negeri Pahang”. Pertukaran nama ini dicadangkan oleh UMNO Cawangan Rumah Banjir.

Bagi kemudahan penduduk Kg. Dato’ Shahbandar menunaikan sembahyang Jumaat, maka pada tahun 1986 sebuah masjid telah dibina di Kg. Dato’ Shahbandar oleh kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur, dan masjid itu telah dinamakan Masjid At-Taqwa. Pembinaan masjid tersebut dilakukan oleh Syarikat Mentiga Sdn. Bhd. (sekarang Mentiga Corporation) secara pasang siap. Masjid tersebut dibina di atas tapak seluas 3 ekar dengan menggunakan kayu yang dibekalkan sendiri oleh Syarikat Mentiga Sdn. Bhd.. Masjid tersebut dapat menampung seramai lebih kurang 800 orang jemaah sahaja. Pada tanggal 13 Februari 1987 bersamaan 14 Jamadil Akhir 1407, masjid tersebut telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah.

Memandangkan pembangunan yang pesat sedang berlaku berhampiran Kg. Dato’ Shahbandar, serta penghijrahan penduduk yang semakin ramai, maka pada tahun 1996
JKKK Kg. Dato’ Shahbandar dan AJK Masjid At-Taqwa telah mencadangkan kepada pihak berkenaan supaya dibina masjid baru yang lebih kukuh dan mampu menampung lebih ramai jemaah. Pada tahun tersebut keadaan masjid At-Taqwa telah mula rosak dan memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Akhirnya cadangan tersebut telah diterima oleh pihak kerajaan negeri dan pada tanggal 22 Oktober 1998 bermulalah kerja-kerja merobohkan masjid At-Taqwa tersebut bagi membina masjid yang baru. Dalam tempoh pembinaan masjid baru tersebut, penduduk Kg. Dato’ Shahbandar telah menggunakan Surau Al-Ihsan, Kg. Dato’ Shahbandar yang telah dinaiktaraf sebagai masjid sementara, untuk menunaikan sembahyang Jumaat dan aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain.

Masjid baru yang sedang dibina itu dianggarkan bernilai RM3.6juta dan boleh menampung seramai 1,600 jemaah. Masjid baru itu siap dibina pada 20 Ogos 2000, dan mulai tarikh itu penduduk Kg. Dato’ Shahbandar serta penduduk yang tinggal di taman-taman perumahan sekitarnya dibenarkan menunaikan sembahyang di masjid tersebut.

Pada tanggal 20 Oktober 2000, sekali lagi KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah, berkenan mencemar duli untuk merasmikan masjid baru tersebut, Apa yang membanggakan penduduk setempat ialah nama masjid tersebut dikekalkan sebagai Masjid At-Taqwa dan dinaikkan taraf sebagai Masjid Daerah yang kedua di Pekan.

Sejak Masjid At-Taqwa yang baru itu dirasmikan, masjid tersebut tidak pernah menyertai pertandingan Anugerah Masjid Cemerlang yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang, walaupun hasrat untuk bertanding telah disuarakan oleh AJK masjid.  Namun demikian, pada tahun ini (2005), AJK Masjid At-Taqwa yang diPengerusikan oleh YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan, telah bersetuju untuk bertanding buat kali pertama .

Walaupun kali pertama menyertai pertandingan tersebut, namun dengan izin Allah Masjid At-Taqwa telah berjaya menduduki tempat PERTAMA Anugerah Masjid Cemerlang Peringkat Negeri Pahang 2005, Kategori Masjid Daerah. Syukur alhamdulillah!!

Aktiviti Masjid:

  1. Kuliah Maghrib - setiap malam kecuali malam Jumaat
  2. Ceramah & Forum Agama sempena perayaan Islam seperti Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, menyambut Ramadhan dan sebagainya
  3. Solat Hajat Khas  sempena Tahun Baru Hijrah, Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang, Hari Kemerdekaan Negara, untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki Peperiksaan, mohon hujan dan sebagainya
  4. Program Sambutan Maulidur Rasul
  5. Qiamullail
  6. Program Ihya Ramadhan
  7. Kursus-kursus – pengurusan jenazah dan kursus haji
  8. Kelas Membaca Al-Quran & Tarranum
  9. Kelas belajar “maulud”
  10. Ibadah Korban
  11. Menguruskan jenazah atas permintaan waris
  12. Gotong-royong
  13. Melancarkan tabung khas seperti tabung anak-anak yatim, tabung bencana alam Dan lain-lain
  14. Mengadakan program permuafakatan dengan jabatan/agensi kerajaan/NGO/ Dan lain-lain
  15. Menguruskan majlis akad nikah
  16. Menyediakan bilik latihan “REHABLITI” untuk warga emas dengan kerjasama Pejabat  Kesihatan Daerah Pekan
back to top